Begitu jugalah ibadat puasa mempunyai tujuan tertentu seperti meningkatkan ketakwaan dan keimanan seseorang.
Islam amat peka kepada kesejahteraan manusia dan ibadat yang ditentukan tidak memberatkan umatnya, seperti firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 78 yang bermaksud:
“Tidaklah Allah menyebabkan timbulnya kesulitan bagimu dalam agama”.
Oleh itu kelonggaran diberikan kepada sesiapa yang mempunyai masalah seperti sakit tua, hamil dan menyusu.
Kelonggaran bagi orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa pada Ramadan diperjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 183-184 yang bermaksud:
“Hai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, iaitu dalam beberapa hari yang tertentu, maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”.
Wanita yang hamil boleh berpuasa jika kandungannya normal dan tidak mengalami sebarang permasalahan. Jika dikhuatiri pembesaran janin akan terjejas, ibu yang hamil boleh berbuka puasa dan diganti pada hari yang lain.
Bagi janin yang mengalami permasalahan pembesaran, ibu dinasihatkan supaya tidak berpuasa.
Dalam kes puan, kandungan baru saja berusia tiga bulan, kemungkinan besar puan boleh berpuasa seperti umat Islam yang lain.
Jika pada tahap ini puan masih muntah-muntah, eloklah jangan berpuasa kerana ibu yang mempunyai alahan itu dinasihatkan supaya makan secara sedikit-sedikit tetapi kerap untuk mengurangkan rasa loya dan muntah.
Bagi ibu-ibu yang ingin berpuasa, di bawah adalah beberapa petua:
- Pastikan puan tidak mempunyai masalah kesihatan atau masalah pada janin.
- Pastikan pergerakan janin adalah normal, sekurang-kurangnya 10 kali bagi setiap lapan jam.
- Dinasihatkan supaya mengambil makanan seimbang dan berkhasiat pada waktu berbuka dan sahur.
- Elakkan makanan mengandungi banyak gula atau berminyak.
- Bersahurlah selewat mungkin. Langkah ini boleh membantu untuk mengurangkan kelaparan dan keletihan pada masa berpuasa. Langkah ini juga selari dengan sunnah Rasulullah.
Oleh kerana berpuasa mengambil masa kira-kira 13 jam, keperluan kepada makanan yang mengambil masa agak lama untuk hadam adalah lebih baik daripada makanan yang hadam dengan cepat.
Contoh makanan yang mengambil masa untuk hadam ialah makanan mengandungi bijirin, gandum, wholemeal, sayur-sayuran, buah-buahan yang dikeringkan (dried fruits) dan unpolished rice.
Minum sekerap dan secukupnya dalam masa di antara berbuka hingga tidur waktu malam. Dengan itu badan dapat menyesuaikan keadaan cecair dalam badan.
Pengambilan cecair dan serat yang cukup dapat mengurangkan permasalahan sembelit ketika hamil dan berpuasa.
Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil multivitamin yang diberikan oleh doktor.
Fungsi multivitamin ini adalah untuk menampung keperluan badan terutama ketika hamil dan berpuasa.
Elakkan daripada kegiatan yang memerlukan tenaga yang banyak. Berehatlah pada pertengahan hari jika keadaan mengizinkan.
Ibu hamil dibenarkan meninggalkan atau berbuka puasa jika berasakan kurang berupaya untuk meneruskannya dan mereka boleh berpuasa semula pada hari-hari lain jika keadaan mengizinkan.
Jangan jadikan hamil sebagai alasan untuk tidak berpuasa!
p/s: den akan try puasa penuh tahun ni.... insyaallah....